Info Tips

Cara Mudah Tanam Timun Dengan Betul, Ikut Tips A-Z Ini Baru Gemuk-Gemuk Hasilnya

Timun atau mentimun merupakan sejenis buah tumbuhan yang dimakan sebagai sayur dan ditanam sebagai makanan. Timun boleh dimakan secara mentah atau segar dan juga diterapkan dalam masakan. Bagi anda yang ingin menanam buah tumbuhan ini, moleklah mengikuti cara mudah tanam timun dikongsikan Siti Rokiah Che Hat sebagai panduan.

CARA MUDAH TANAM TIMUN

cara mudah tanam timun

Gambar: Siti Rokiah Che Hat

Cara tanam timun yang mudah dan betul

Perkongsian ini akan membincangkan secara menyeluruh berkenaan cara tanam timun dari penyediaan tanah sehinggalah kawalan perosak.

Penggunaan timun dalam kehidupan harian adalah sangat menyeluruh. Ianya kerap digunakan sebagai sumber makanan dalam pemakanan harian manusia sebagai ulam-ulaman dan sebagainya.

Timun adalah sejenis sayuran yang menjalar. Dengan hanya menyediakan kayu sokongan, timun yang ditanam akan tumbuh dan menjalar dengan suburnya pada kayu sokongan tersebut.

1. Keperluan asas penanaman timun

  • Timun sesuai ditanam pada berbagai jenis tanah, antaranya adalah tanah gambut dan tanah berpasir
  • Manakala, bagi keperluan suhunya pula adalah dalam lingkungan 18-35°C
  • Kawasan bagi penanaman tanaman ini perlulah menerima taburan hujan 300mm setiap musim
  • Persediaan tanah adalah perkara yang utama untuk dipertimbangkan kerana ianya merupakan penentu kepada kejayaan penanaman
  • Terlebih dahulu, disyorkan untuk melakukan pembajakan dan pengemburan di peringkat awal pada tanah dengan secara manual

2. Penyediaan tanah

Penanaman:

  1. Langkah pertama adalah dengan melakukan pembajakan dan pengemburan dengan menggunakan kaedah manual iaitu cangkul pada kedalaman sekitar 15-22cm.
  2. Bagi menambahbaik kandungan organik pada tanah, taburkan tahi ayam yang reput terlebih dahulu sebelum melakukan pengemburan dan pembajakan.

Spesifikasi batas:

  1. Perlu menyediakan batas berukuran 1.2m lebar x 25cm tinggi.
  2. Panjang batas pula adalah bergantung kepada keadaan kawasan.
  3. Setelah selesai membuat sebuah batas, lakukan penjarakan antara 30cm dengan batas baru.

Penanaman dalam pasu ataupun dalam polibeg:

  1. Hanya perlu menggunakan campuran tanah, tahi ayam atau kompos serta pasir dengan nisbah 3:2:1
  2. Lalu, dimasukkan terus ke dalam pasu atau polibeg sehingga 5cm dari bahagian permukaan

3. Cara penanaman timun

Gambar: Siti Rokiah Che Hat

Biji benih:

  1. Anda boleh memilih sama ada dengan mengambilnya terus daripada buah timun yang telah masak ataupun dengan membelinya terus di pasaran dalam bentuk pek.
  2. Setelah mendapatkan biji benih tersebut, semaikan 2 biji benih dalam satu lubang sedalam 2.5cm.

Jarak tanaman:

  1. Pastikan jarak antara tanaman adalah 60cm antara pokok.
  2. Selepas penanaman, lakukan penyungkupan menggunakan rumput kering bagi mengekalkan kelembapan dan suhu tanah serta melambatkan pertumbuhan rumpai.
  3. Penanaman timun adalah penting untuk menyediakan kayu junjung bagi membolehkan pokok menjalar serta memudahkan proses penuaian kelak.

Kayu pancang:

  1. Seterusnya sediakan kayu pancang berukuran 2m, lalu dipacak dan dicondongkan berhampiran anak benih tadi.
  2. Letakkan sebatang kayu pada secara melintang pada kayu yang dipacak tadi dan ikat menggunakan tali raffia bagi mengukuhkan sokongan.
  3. Seterusnya, biarkan tanaman tersebut selama 2 minggu dan lakukan penjarangan sepokok selubang bagi mengelakkan persaingan yang tinggi.

4. Penyiraman

  • Timun memerlukan kelembapan secukupnya untuk hidup subur
  • Hendaklah disiram sebanyak 2 kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang kecuali hujan

5. Pembajaan

  • Pembajaan perlu dilakukan sebanyak 3 kali sepusingan
  • Pada minggu ke-2, ke-4, dan ke-6 dengan menggunakan 10g baja NPK Blue (12:12:17:2) sepokok

6. Kawalan rumpai, serangga dan penyakit

salad timun viral

Gambar: Siti Rokiah Che Hat

Rumpai:

  • Rumput yang tumbuh akan mengganggu pertumbuhan timun
  • Sebagai langkah kawalan pertumbuhan rumpai, kerja merumput hendaklah dilakukan secara kerap

Kawalan serangga:

  • Perlu diketahui bahawa timun sering diserang oleh kumbang daun dan kutu daun
  • Bagi mengawal serangga kumbang daun tersebut, semburan dengan menggunakan racun carbaryl ataupun dengan malathion adalah yang paling efektif bagi masalah ini.

Penyakit:

  • Hendaklah melakukan semburan menggunakan racun benomyl bagi mengawal penyakit kulapuk berdebu atau powdery mildew

7. Penuaian hasil

  • Setelah 7-8 minggu penanaman, penuaian sudah boleh dijalankan
  • Bagi menjalankan pemetikan buah secara kemas dan bersih, sebaiknya menggunakan gunting atau sekateur yang tajam

Diharapkan dengan perkongsian ini dapat membantu anda cara penanaman timun di rumah dengan cara yang betul. Selamat mencuba!

Sumber : Siti Rokiah Che Hat / siraplimau

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *