Info

Pembukaan Seksyen 11 WCE : Tol Percuma Selama Dua Bulan

Pemandu kenderaan yang melalui plaza tol Laluan Seksyen 11, Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini tidak perlu membayar tol selama dua bulan bermula 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tol percuma diberikan kepada pengguna yang memasuki lebuh raya itu dari Plaza Tol Taiping Selatan, Plaza Tol Trong dan Plaza Tol Beruas di kedua-dua arah hingga 11 Mei ini.

“Terima kasih kepada pihak konsesi dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kerana bersetuju supaya tol diberi secara percuma selama dua bulan di laluan yang difahamkan menelan belanja sebanyak RM422 juta ini.

“Pembukaan ini adalah tepat pada masanya memandangkan kita akan menyambut bulan Ramadan esok dan Aidilfitri tidak lama lagi, tentunya laluan ini memberikan alternatif yang dinanti-nantikan. Kadar tol yang dikenakan selepas ini ialah 16 sen bagi satu kilometer,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pembukaan laluan itu di sini hari ini.

Beliau berkata bagi pengguna yang memasuki WCE dari plaza tol yang dibuka sebelum ini seperti Plaza Tol Lekir, Sitiawan, Sitiawan Utara dan Changkat Cermin, nilai kadar tol bagi jajaran berkenaan akan dikenakan seperti biasa.

Nanta berkata kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan LLM sentiasa membuat kajian aliran trafik berdasarkan kapasiti sedia ada berbanding bilangan kenderaan di jalan raya diikuti dengan perancangan dan tindakan penambahbaikan untuk mengurangkan kesesakan terutama ketika waktu puncak, musim perayaan dan cuti persekolahan.

Sumber : bernama

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *