Info

“Abah kata puasa tu best” Tunggu Attar kat syurga tau.

“Tunggu tau Attar di syurga. Nanti dah tak boleh peluk dah, sebab keluarga Attar dah pergi alam lain.”

Demikian kata-kata Attar Azim Syukran Jamil, 9, semasa menyiram air ke atas pusara ibu bapanya, Syukran Jamil Ab Hamid dan Noor Aishah Razali masing-masing berusia 35 tahun serta dua adiknya, Ahya Rafiqi Syukran Jamil, 6, dan Lufya Adeena yang berusia setahun.

Empat beranak berkenaan maut selepas terbabit kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, Kuala Krai, Kelantan, pada Sabtu, yang menyebabkan Attar Azim menjadi yatim piatu dan kehilangan semua adiknya dalam sekelip mata.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, ibu bapanya selalu berpesan berkenaan persediaan untuk memasuki Ramadan serta adab dengan orang tua.

“Abah kata, kena doa banyak-banyak supaya boleh puasa.

“Abah kata puasa tu best, ada banyak pahala tapi abah kata kena doa banyak-banyak. Ada orang yang tak dapat puasa, jadi dia tak dapat kumpul banyak pahala.

“Mak kata pula kalau belajar pandai, tapi tak hormat ibu bapa tiada guna,” katanya sebak semasa ditemui pemberita sejurus selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara di sini, malam tadi.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Sumber : bh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *