Semasa

“Jatuh Cinta” Dengan lsIam. Bos Samsvng Memeluk lsIam

Perjalanan hidup seseorang tidak ada yang tahu. Malahan kita boleh menemukan sesuatu yang kita cari di tempat yang kita tidak pernah terfikir pun sebelumnya. Begitu juga dengan seorang warga Korea, Lee Kang Hyun yang pernah menjadi Timbalan Presiden Samsung di Indonesia. Sejarah kemahsyuran Samsung di Indonesia kini adalah berasal dari hasil kerja keras beliau. Asal perjalanan ceritanya bermula daripada hobinya yang suka menulis, yang kemudiannya berutus surat dengan sahabat pena dari Indonesia. Setelah sekian lama berutus surat beliau pun mengunjungi temannya tersebut yang berada di Aceh.

Sahabat Pena Dari Aceh

Kecintaan Lee Kang Hyun pada Indonesia berawal dari cerita-cerita yang disampaikan oleh sahabat penanya yang berasal dari Aceh. Akhirnya pada tahun 1988, Lee pun mengunjungi sahabat penanya tersebut selama sebulan setelah baru menyelesaikan khidmat ketenteraan di Korea pada tahun 1986 hingga 1988.

Pelopor Samsung Indonesia

Setelah menyelesaikan pengajiannya di Fakulti Ekonomi Universiti Hankuk, Korea Selatan Lee memilih untuk bergabung bersama dengan salah satu syarikat elektronik terbesar di dunia, Samsung pada tahun 1991.

Disebabkan pengetahuannya tentang Indonesia cukup mendalam, Lee ditugaskan untuk memulakan pembukaan perniagaan Samsung di Indonesia pada tahun 1993 yang pembuatan kilangnya telah dimulai beberapa tahun sebelumnya.

Kilang Samsung, Cikarang Indonesia

Dia sangat bersyukur kerana keputusan tersebut amat jarang terjadi. Biasanya Samsung akan mengirimkan pekerjanya untuk bertugas di luar negara apabila telah bekerja dalam tempoh yang cukup lama iaitu minimum 10 tahun.

Jatuh Cinta Pada Islam Kerana Nilai Murni

Keramahan masyarakat Indonesia meninggalkan kesan yang mendalam bagi lelaki yang lahir pada 16 Julai 1966 ini. Bahkan, rasa cintanya kepada Indonesia tumbuh subur dalam dirinya. Tidak hanya itu, beliau juga akhirnya memeluk agama Islam dan menjadi mualaf sejak tahun 1994 yang sebelumnya dia pelajari dari sahabat penanya tersebut.

Kecintaannya pada Islam pula tumbuh ketika melihat bapa sahabatnya tersebut mengajar agama Islam secara percuma kepada lebih kurang 20 orang kanak-kanak di kawasan sekitar dan membiayai mereka. Bapa sahabat beliau itu kemudiannya dijadikan sebagai bapa angkatnya. Sementara itu, ibu sahabat beliau pula mendirikan rumah anak yatim.

“Jadi saya benar-benar lihat sendiri bagaimana umat muslim berperilaku, kemudian saya diajarkan solat,” kisahnya.

Bapa sahabatnya itulah yang membawa beliau ke Masjid Agung Sunda Kelapa untuk mengucapkan dua kalimah syahadah. Pada mulanya menjadi muallaf itu cukup berat terutamanya semasa bulan puasa namun kini beliau telah biasa menjalaninya, alhamdulillah.

Bertemu Jodoh Di Indonesia

Lee yang pada ketika itu sangat sibuk dengan kerjayanya akhirnya dikenalkan oleh keluarga angkatnya kepada seorang pramugari yang bernama Yuliani Sandra. Meskipun hubungan mereka pernah ditentang oleh orang tua wanita itu, namun akhirnya Lee berjaya menambat hati mereka dan akhirnya bernikah dengan wanita Sunda tersebut pada tahun 1996. Mereka kini mempunyai 3 orang putera.

Penulis Buku Yang Digelar ‘Pak Haji’

Di tengah kesibukannya dalam mengelola Samsung Indonesia, Lee sempat menerbitkan bukunya. Bahkan dirinya juga menjadi ketua kumpulan penulis Korea di Indonesia. Buku yang ditulis adalah dalam pelbagai genre seperti esei dan puisi. Menariknya, inspirasi menulis datang dari mana sahaja, termasuk hal-hal yang kecil.

Pernah sekali, dia merasa geram dengan anak bungsunya kerana sambil lewa dalam mengerjakan beberapa hal.

“Lalu anak saya kata, ‘Bapa makanya sabar, belajar sabar, Pak’,” ceritanya sambil tertawa. Kisah ini pun dituliskan menjadi buku berjudul Sabar yang ditulis dalam bahasa Korea.

Dikhabarkan juga bahawa setiap kali menunggu pemandunya selama 20 minit di dalam kereta beliau akan menulis tentang apa sahaja. Pemandu peribadinya, Sukimin yang telah bekerja selama 20 tahun dengannya pun pernah menjadi subjek karya beliau. “Setiap hari, setiap pagi di dalam kereta sambil menunggu sekitar 20 minit, saya tulis tentang apa saja,” katanya.

Selain itu, dirinya juga mendapat gelaran ‘Pak Haji’ meskipun belum pernah menunaikan ibadah haji. Lee berpendapat panggilannya tersebut berasal dari namanya yang kerap dituliskan dengan ‘KH Lee’ atau yang biasa diertikan sebagai Kiai Haji (KH).

Berjanji Menunaikan Haji

Walaupun belum menunaikan rukun Islam kelima, Lee sudah pernah melaksanakan umrah. Lee mengaku bahawa pada ketika ini belum memungkinkan untuk menunaikan haji kerana jadual pekerjaannya yang sangat padat.
“Tapi saya sudah berjanji kepada istri saya akan berangkat haji,” ujarnya.

“Nama saya KH Lee, mungkin orang-orang memanggil ‘Kiai Haji’ Lee, jadi doakanlah sekali,” beliau berseloroh lagi.

Dari Samsung Pindah Ke Hyundai

Terkini yang dilaporkan oleh Kompas pada 2020, Pak Haji ini telah berpindah kerjaya menjadi Timbalan Presiden serta Chief Operating Officer (COO) Hyundai Motor Asia Pacific setelah berbulan-bulan memikirkannya.

Sebelumnya dia telah bekerja di Samsung lebih kurang 28 tahun. Pertukaran syarikat itu adalah kerana Hyundai Motor sudah beberapa kali mendekatinya untuk bekerja dengan mereka. Meskipun begitu beliau tetap akan membantu bisnes Samsung di Indonesia.

Akhir Kata

Subhaanallah, begitulah kisah seorang lelaki Korea mendapat hidayah kerana sifat dan nilai murni Islam yang ditonjolkan oleh masyarakat muslim di Indonesia. Bukan hanya itu, kita boleh mencontohi banyak nilai-nilai positif dalam peribadi lelaki ini terutamanya dalam pengurusan masa yang efektif. Bagaimana kesibukan seorang bos mengurus syarikat gergasi kemudian sempat mempelajari agama dan sempat pula menulis buku. Beliau juga suka membantu. Dah kerja dengan syarikat baru tapi masih membantu syarikat lama. Orang kita sekarang cakap ‘bukan kaleng-kaleng’!

Sumber : mymediamaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *