Semasa

“Hanya AJK Dibenarkan” Rindunya Nak solat Jumaat.. Berapa Kali Jumaat Tertinggal Dah.

Ipoh: Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) menerima aduan berkenaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat Jumaat di Perak yang membabitkan kehadiran individu bukan ahli jawatankuasa (AJK) atau pegawai masjid serta surau Jumaat (SDJ).

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, berdosa bagi seseorang AJK atau pegawai yang diamanahkan untuk menunaikan solat Jumaat tetapi mewakilkannya kepada orang lain tanpa sebarang keuzuran.

Beliau berkata, keputusan mewajibkan hanya 12 AJK dan pegawai masjid serta SDJ bersolat Jumaat dicapai melalui suatu ketetapan yang diperakukan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-223 yang bersidang pada 14 Jun 2021 lalu.

Untuk itu katanya, wajib ke atas mana-mana pihak berkenaan melaksanakan Solat Jumaat sepertimana arahan Ulil Amri dan ketaatan terhadap perkara itu juga termasuk dalam firman Allah SWT dalam surah al Nisa’ ayat 59 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin di kalangan kamu.”

“Sekiranya terdapat keuzuran menurut Syarak, maka hendaklah digantikan dengan seberapa segera kepada mereka yang melaksanakan amanah pengimarahan, yakni terdiri daripada jawatankuasa kecil atau biro atau lajnah bagi kariah terbabit.

“(Sementara) bagi mereka yang tidak ditetapkan atau tidak dibenarkan oleh pemerintah, maka pelaksanaan solat Jumaat mereka di masjid atau SDJ berkenaan (tetap) sah, namun dikira berdosa kerana melanggar ketetapan pihak pemerintah (Ulil Amri).

“Pelaksanaan (solat) Jumaat terbabit (tetap) terlaksana dan (manakala) pihak-pihak yang cuai untuk mencukupkan bilangan seramai 12 orang (jemaah) juga dikira sebagai berdosa,” katanya dalam kenyataan berbentuk pekeliling yang diedarkan kepada semua Pengerusi Masjid dan SDJ bertarikh 16 Jun.

Menurut pekeliling itu lagi, AJK masjid serta SDJ perlu sedaya-upaya mengimarahkan solat Jumaat bagi melaksanakan syariat selain meninggikan syiar (kemegahan) Islam dengan tanggungjawab dilaksana sebagaimana yang ditetapkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menerusi siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bertarikh 19 Syawal 1442 bersamaan 31 Mei lalu.

“Selain itu, ia turut berdasarkan Pekeliling Pelaksanaan Aktiviti Keagamaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada tarikh sama, yang secara jelas menerangkan penetapan mengenai bilangan 12 jemaah terbabit,” katanya.

Sumber : Harianmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *