Semasa

Anggota Bomba Bantu Kebumikan Jen4zah c0vid-19 220kg

Seremban: Pengalaman membantu skuad Pengurusan Jenazah Covid-19 (Tajhiz) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) tidak dapat dilupakan buat anggota skuad Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, di sini, Mohd Sharizal Boahari.

Mohd Sharizal, 37, berkata, pengebumian itu membabitkan pesakit Covid-19 berusia 30 tahun dengan beratnya 220 kilogram (kg).

Katanya, mangsa yang menetap di sebuah taman perumahan di Port Dickson meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban dan urusan pengebumian dijalankan di Tanah Perkuburan Dato Haji Abdullah Sijang, Port Dickson, malam kelmarin.

“Kami diminta oleh JHEAINS untuk memberikan bantuan dalam urusan pengebumian jenazah pesakit terbabit.

“Saya bersama sembilan anggota dari BBP Seremban 2 dan BBP Port Dickson yang lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE) bergegas ke lokasi tanah perkuburan berkenaan.

“Kami membantu menurunkan jenazah ke dalam liang lahad dengan menggunakan empat tali khas membabitkan lapan penjuru.

“Ia dilakukan secara berhati-hati. Walaupun tugasan itu agak mencabar namun ia lancar kerana dibantu seramai 21 anggota petugas daripada Tajhiz dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya di sini, hari ini.

Katanya, operasi itu bermula dari jam 11 malam dan berakhir pada jam 1 pagi.

Mohd Sharizal yang sudah berkhidmat selama 14 tahun dalam jabatan itu berkata, tugasan itu julung kali dilakukannya sejak pandemik melanda negara awal tahun lalu.

Beliau berkata, lazimnya semua urusan pengebumian pesakit Covid-19 di Negeri Sembilan dilakukan oleh skuad Tajhiz JHEAINS tanpa bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

“Mungkin rezeki saya dan rakan-rakan untuk dapat sama-sama membantu menguruskan jenazah pesakit terbabit, namun ia suatu pengalaman berharga.

“Sebaik selesai urusan pengebumian itu, semua anggota Hazmat melakukan ‘decon’ (pemusnahan) pakaian dan peralatan yang digunakan,” katanya.

Sumber : harianmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *