Semasa

M4ut Disambar Petir, “Arwah seolah-olah berat untuk meninggalkan saya dan anak”

Tanjong Karang: “Kami sepatutnya menyambut ulang tahun perkahwinan keempat pada 21 Julai ini dan dalam masa sama merancang sambutan hari lahir anak pada Ogos depan.”

Itu kata Nur Baqirah Othman, 23, isteri kepada Allahyarham Muhammad Syahizzudeen Mohd Lotfi, 27, yang maut dipanah petir ketika mengikat kanvas muatan batu bata di Permata Kuari, Latar Rawang, Rawang, 14 Jun lalu.

Bercerita lanjut, Nur Baqirah berkata, dia dan arwah suami yang berkahwin sejak empat tahun lalu dikurniakan anak kembar lelaki, Aufa Mikael dan Aufa Naqeeb yang kini sudah berusia 10 bulan.

Kata Nur Baqirah, arwah tidak menunjukkan perubahan ketara kecuali menjaga anak selepas pulang dari tempat kerja berikutan dia demam.

“Seminggu sebelum suami meninggal dunia, saya demam. Dialah yang menguruskan keperluan anak-anak walaupun penat bekerja seharian sebagai pemandu lori.

“Pada masa sama, saya perasan arwah nampak lain terutama cara percakapannya yang lembut berbanding sebelumnya.

“Pada hari kejadian, arwah tinggalkan RM25 di atas papan gosok baju untuk saya beli susu anak. Kemudian, dia bersiap untuk ke tempat kerja dan pergi ke arah lori.

“Ketika itu, saya lihat arwah seolah-olah berat untuk meninggalkan saya dan anak-anak. Ia boleh dilihat apabila arwah berulang-alik dari rumah ke lori untuk mengambil barangnya yang tertinggal,” katanya.

Nur Baqirah berkata demikian ketika ditemui selepas kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Jalan Adam, Batu 7 1/4, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, keluarga berkenaan turut menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000.

Turut hadir, Ketua Pemuda Umno Tanjong Karang Datuk Shahrizal Shari serta Pengurus Perkeso Tanjong Karang S Mageswari.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu apabila anak buahnya, Rabiatul Adawiyah Kamaruddin, 23, menghubungi memaklumkan perkara berkenaan.

“Sebelum itu, saya WhatsApp suami dan bertanya di mana dia berada, tetapi tidak berbalas. Tidak lama kemudian, anak buah menelefon memaklumkan suami disambar petir ketika berada di tempat kerja.

“Sebaik mendapat berita itu, saya segera bersiap dan segera ke tempat kejadian untuk melihat keadaan suami. Apabila sampai, saya lihat arwah sudah terbaring dengan muka bertutup dan dilindung dengan payung,” katanya.

Menurutnya, dia cuba menggerakkan suaminya dengan harapan arwah masih lagi bernyawa, bagaimanapun reda dengan ketentuan Allah SWT.

Nur Baqirah berkata, jenazah suaminya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Tanjong Karang.

Sementara itu, Mageswari berkata, waris layak mendapat faedah dari Perkeso antaranya faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 dan FOT sebanyak RM900 setiap bulan dengan bayaran bulan pertama RM480.

Sumber : hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *