Hiburan Info

Astro gantung All Together Now Malaysia

KUALA LUMPUR: Astro menggantung program realiti nyanyian, All Together Now Malaysia berikutan siasatan dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkata nasib program yang menampilkan 50 juri itu akan diketahui selepas siasatan KKMM selesai.

“Rakaman All Together Now Malaysia dilakukan Mac lalu di Putrajaya sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Produksi menjalankan ujian calitan ke atas semua individu yang mengambil bahagian sebelum rakaman bermula.

“Hanya individu berstatus negatif sahaja dibenar meneruskan rakaman,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Raqim berkata, set bertingkat menempatkan selebriti dibina mengikut spesifikasi penjarakan fizikal iaitu 1.6 meter antara juri dengan setiap seorang dipisahkan penghadang lutsinar.

Tambahnya, proses rakaman program berkenaan dipantau pihak berkuasa merangkumi wakil agensi keselamatan.

Sejak episod pertama All Together Now Malaysia disiarkan Ahad lalu, netizen mendakwa berlaku perlanggaran SOP dalam program itu berikutan selebriti dilihat tidak memakai pelitup muka.

Terdahulu, BH Online melaporkan, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohd Rabin Basir mengarahkan siasatan dilakukan atas sebuah rancangan hiburan terbitan syarikat penyiaran swasta atas dakwaan melanggar SOP.

Mohd Rabin dilaporkan berkata, KKMM akan mengambil tindakan wajar jika mengenal pasti berlakunya pelanggaran SOP seperti didakwa.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda.

Sumber : beritaharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *