Semasa

“Dia Seakan Trauma, Takut Untuk Keluar,” Kisah Sedih Gadis Istimewa Hilang Tempat Bergantung, Ibu Ayah Angkat Dijemput Ilahi

Tidak semua pasangan mempunyai rezeki memiliki cahaya mata, tidak semua anak juga bertuah memiliki ibu dan ayah yang menjaganya penuh kasih sayang sehingga dewasa.

Ujian manusia berbeza. Ada anak kecil yang ditatang penuh kasih sayang, tak kurang juga ada antara mereka yang terpaksa membesar tanpa ibu dan ayah kandung kesayangan.Inilah ujian dihadapi seorang gadis istimewa yang kini tinggal sebatang kara di rumah anak yatim milik sukarelawan, Natipah Abu.Kongsi Kak Pah, gadis yang kini berusia 35 tahun itu dilihat cukup naif dan lebih gemar menyendiri. Dibesarkan keluarga angkat sejak kecil selepas ibu kandung dipercayai menghilangkan diri, dia kemudiannya diuji apabila ibu, ayah dan kakak angkat sulungnya meninggal dunia.

Kini tiada tempat bergantung, gadis istimewa itu mendapat perlindungan di rumah anak yatim milik Kak Pah bagi membantunya untuk meneruskan kehidupan yang lebih normal.

Mari baca perkongsian Kak Pah berkenaan gadis istimewa ini.

Dia anak syurga

“Kak Pah .. Kak Pah kena tolong budak ni Kak Pah. Saya tak dak tempat dah ni. Kesian dia Kak Pah . Saya takut kalau kita tak tolong , dia bunuh diri nanti..”

Entah kali yang keberapa Cikgu Anwar call Kak Pah semalam. Dan entah kali keberapa juga, Kak Pah telah menolak sebelum ini.

Sebut saja nama Cikgu Anwar .. dunia NGO setempat memang sinonim dengan nama guru yang telah bersara itu. Orang lama yang outreachnya sangat detail. Lebih dari itu.. dia juga disegani.

Dan dalam kes ini, dia buntu. Kerana yang diperlukan bukanlah wang ringgit. Tetapi penempatan dan penjagaan.

“Cikgu.. letak hotel dulu malam ni boleh tak? Rumah anak yatim Kak Pah tak ready lagi. Barang memang ada dah, tapi staf tak masuk lagi, esok baru masuk staff.”

Kak Pah cuba meminta tempoh satu malam saja lagi. Tetapi Cikgu Anwar terus memujuk.

“Kalau macam tu, oklah! Bawalah dia ke rumah mengaji Kak Pah. Sana ada bilik kosong. Esok malam kita pindah masuk ke rumah anak yatim.”

Dia berusia 35 tahun. Seorang gadis yang sangat naif. Sebaik menatap wajahnya, terus Kak Pah berkata,

“Cikgu.. orang macam ni tak akan bunuh diri. Dia tak tau apa-apa pun cikgu!”

Kak Pah panggil namanya berkali – kali. Dia yang sedang bersandar di dalam bilik itu menyahut perlahan.

Kak Pah ajak dia keluar dari bilik .. tapi dia mengambil masa yang lama utk merapikan diri sebelum keluar dan duduk di muka pintu bilik saja.

Kak Pah cuba mengajak dia berbual .. tapi hampa. Banyak soalan Kak Pah tergantung sepi. Hanya senyuman saja yang Kak Pah dapat sebagai jawapan.

Dia boleh bercakap tetapi lambat .. dan dia juga seolah tidak fokus kepada soalan.

Hatta… Kak Pah mengajak dia bercerita tentang insan yang teramat menyayanginya dulu pun.. tidak mendapat apa-apa reaksi darinya. Hampa sungguh Kak Pah kerana tidak dapat menyelami isi hatinya.

“Mana mak?”

Lama dia diam.. terkulat-kulat matanya.

“Tak tau!”

“Ayah mana?”

“Mati kot…”

Dia menjawab sepatah lalu dia diam lagi. Menggaru-garu kepalanya sambil pandangannya meliar entah ke mana.

Ternyata dia memang seorang insan istimewa. Dari pandangan mata kasar, dia ada masalah lembam dan mungkin bercampur juga dengan kemurungan.

Dipelawa makan makanan yang ada di atas meja, dia bangun perlahan. Mengambil makanan dan sekali lagi duduk di tengah muka pintu.

Hampir setengah jam dia perlukan untuk menghabiskan sebungkus nasi. Sambil makan, dia menganggukkan kepala.. seolah sedang bermonolog.

35 tahun lalu, ketika masih bayi .. dia telah diserahkan kepada sepasang suami isteri oleh si ibu kandung.

Ibu kandung meminta pasangan suami isteri itu mengasuh bayinya dengan alasan dia hendak pergi bekerja.

Setelah mendapat gaji, dia akan membayar wang upah mengasuh. Itulah janji si ibu kandung.

Tetapi sejak hari itu, si ibu kandung pergi tanpa kembali lagi. Tinggallah pasangan yang suaminya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan itu membesarkan dia dengan penuh kasih sayang walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Pasangan pengasuh itu akhirnya menjadi ibu dan ayah angkatnya. Takdir Allah.. ibu angkat pergi terlebih duhulu menyahut panggilan Ilahi ketika dia masih kanak-kanak.

Tinggallah dia dibesarkan oleh ayah angkat. Umum semua tahu, betapa kasihnya si ayah angkat terhadap dia. Dengan motosikal .. dia dihantar ke sekolah sama seperti anak kandungnya yang lain.

Ketika usianya 25 tahun , ayah angkat nya jatuh sakit dan lumpuh akibat strok. Sejak itu, dia dan ayah berpindah ke rumah kakak angkatnya, anak perempuan sulung ayah angkat.

5 tahun dia dan ayah angkat tinggal dan dijaga oleh kakak angkat sulungnya, si ayah angkat pun akhirnya kembali juga ke Rahmatullah.

Selama 5 tahun berikutnya setelah pemergian ayah angkat.. dia berada di bawah jagaan kakak angkat sebelum akhirnya giliran kakak angkat pula pergi buat selamanya 6 bulan yang lalu.

Sejak itu.. dia terpaksa keluar dari rumah arwah kakak angkat atas masalah aurat dengan bekas suami arwah kakak angkat.

Dengan itu bermulalah kehidupanya yang terumbang ambing. Dalam tempoh enam bulan, dia sudah enam kali berpindah dari tangan ke satu tangan saudara mara keluarga angkatnya.

Namun semuanya tidak mampu menjaga dia atas masalah dan alasan masing-masing. Yang paling tidak dapat disangkal .. ialah atas masalah bab aurat kerana dia bukan keluarga kandung mereka.

“Kami nak minta tolong Kak Pah kesan ibu kandung dia. Kak Pah ada ramai kawan … tentu boleh jejak ibu kandung dia..”

Kak Pah mengamati sijil lahirnya. Yang ada tertera di atasnya hanyalah maklumat ibu kandung yang ketika melahirkan dia, berusia 22 tahun. Maklumat yang lain, tidak diketahui ..

Andaikata si ibu masih hidup .. kini usianya sudah 57 tahun. Perlu apa menjejaki si ibu lagi ?

Mungkinkah dia akan kembali memeluk anak seperti ini dan mengakui kepada dunia , inilah anak yang pernah dia kandung dan lahirkan lalu tinggalkan?

Ya! Kalau anak ini doktor, peguam atau seorang yang telah berjaya. Mungkin siibu kandung akan menangis dan memeluk anak ini dengan penuh penyesalan. Tetapi dalam keadaan dia seperti hari ini … mungkinkah ?

Bagaimana pula andainya.. si ibu kini telah punya kehidupan baru. Telah bertaubat di atas segala khilafnya dan menutup rapat kisah silamnya dari pengetahuan orang di sekelilingnya, kan!

Walhal.. jika si ibu ingin kembali menatap wajah si anak, sejak hari pertama dia pergi meninggalkan bayinya kepada pasangan itu.. mereka kekal di rumah itu selama berpuluh tahun lamanya.

Melihat keadaan dia.. secara zahirnya dia seakan trauma. Takut untuk keluar dari bilik, takut untuk bertegur sapa dengan orang yang belum dikenali.

Lebih sedih.. dia tidak tidur di atas tilam yang kita sediakan semalam sebaliknya … dia tidur sambil memeluk lutut di atas lantai semen yang beralaskan tikar getah.

“Cikgu .. Kak Pah akan bawa dia tinggal di rumah anak yatim Kak Pah. Biarlah dia tolong kerja-kerja ringan di sana. Bagi dia hidup berkawan. Kak Pah harap dapat mengubah dia. Kalau tak dapat 10 .. dapat 5 pun jadilah.”

Yaaa.. Kak Pah ingin beri dia peluang menikmati kehidupan yang penuh dengan kasih sayang di sana kelak tanpa perlu mengembalikan dia di bawah jagaan kerajaan (JKM). Doakan Kak Pah ya!

Sumber : siakapkeli / natipah abu

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *