Semasa

“Sama Ada Lockdown Ini Berjaya Atau Tidak, Semuanya Terserah Kepada Saudara-saudari & Ketentuan Ilahi”

Keputusan kerajaan untuk melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh atau ‘lockdown‘ ini adalah satu keputusan yang sukar, namun terpaksa dibuat.

Perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluahkan, kerajaan terpaksa menjalankan sekatan ini demi memastikan misi ‘memulihkan’ semula negara tercapai.

“Sama ada lockdown yang dilaksanakan ini akan berjaya ataupun tidak, kesemuanya adalah terserah kepada saudara dan saudari serta ketentuan Ilahi.

“Kerajaan telah menutup hampir semua sektor ekonomi dan sosial untuk mengurangkan pergerakan rakyat dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” luahnya.

Jelas Muhyiddin, kejayaan ‘misi’ besar lockdown ini sebenarnya amat bergantung kepada kerjasama semua pihak.

Oleh sebab itu beliau berpesan agar rakyat perlu kekal berada di rumah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saudari-saudari dikehendaki duduk di rumah, stay at home..dan saya ulangi, just stay at home dan sentiasa patuh kepada SOP. Jika saudara-saudari gagal mematuhi arahan ini, maka kita semua akan gagal. Nauzubillah.

“Kepada para frontliners, bertabahlah. Saya tahu anda semua penat berperang melawan virus ini sejak lebih setahun yang lalu. Saya ingin ulangi penghargaan kerajaan yang tidak terhingga atas segala jasa dan pengorbanan para frontliners kita di seluruh negara.

“Saya doakan agar anda semua terus diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk mengharungi cabaran dan dugaan yang amat besar ini,” tambahnya yang juga turut mendoakan para pesakit COVID-19 agar segera sembuh.

Dalam masa sama, dengan penuh dukacitanya Muhyiddin turut menyampaikan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa COVID-19 yang telah meninggal dunia.

“Marilah kita bersama-sama panjatkan doa ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan wabak yang sedang melanda negara kita dan seluruh dunia pada masa ini segera berakhir,” katanya lagi.

Muhyiddin menzahirkan ‘nasihat’ itu sebagai penutup bicara selepas menyampaikan informasi mengenai bantuan-bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam perutusan khas secara langsung malam ini.

Sumber : RTM / siakapkeli my

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *