Semasa

MKN: Tiada arahan berkurung antara 8 malam hingga 8 pagi

Kerajaan menjelaskan tiada perintah berkurung selepas pukul lapan malam ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Ia menurut seorang jurucakap Majlis Keselamatan Negara ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, susulan beberapa insiden di mana orang awam didakwa dikenakan kompaun kerana ada di luar rumah antara jam lapan malam hingga jam lapan pagi.

Di bawah PKP yang lebih ketat ini, perniagaan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam lapan malam, kecuali beberapa perkhidmatan seperti klinik dan farmasi.

Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan MKN tidak menyatakan sama ada orang awam perlu barada di rumah selepas jam lapan malam, atau tidak.

“Tiada curfew. (Hanya) waktu operasi perniagaan dari lapan pagi hingga lapan malam.

“Lagi pun farmasi buka sehingga pukul 10 (malam). Klinik swasta dibuka berdasarkan waktu operasi mereka.

“Ada jururawat dan doktor habis shift pukul 11 malam,” katanya menerusi pesanan teks kepada Malaysiakini hari ini.

Mutakhir ini, tular beberapa insiden di mana orang awam mendakwa mereka dikenakan kompaun kerana berada di luar selepas pukul lapan malam.

Ia termasuk satu rakamn video pendek yang tersebar hari ini, di mana polis didengar memberitahu seorang individu yang dia boleh dikenakan kompaun RM2,000 kerana berada di jalan sebelum jam lapan pagi tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan polis.

Menurut laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata individu itu tidak dikenakan kompaun.

Menurutnya, video itu dirakam di sekatan jalan raya di Jalan Persiaran Anggerik Eria di Seksyen 31, Shah Alam, dan anggota polis yang terlibat hanya memberi penjelasan kepada individu itu berkenaan SOP PKP.

“Kita ingin menegaskan bahawa tiada SOP yang menyatakan kenderaan tidak boleh berada di atas jalan raya sebelum pukul lapan pagi atau selepas lapan malam,” katanya seperti dipetik.

Sumber : malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *