Semasa

Awang Kota Aur’ dipindahkan selepas sebulan ganggu penduduk

SIK: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berjaya memindahkan seekor gajah liar dianggarkan seberat tiga tan yang berkeliaran dan memakan tanaman penduduk di Kampung Kota Aur, di sini, sejak sebulan lalu.

Pegawai PERHILITAN Sik, Zulkifli Othman, berkata gajah yang diberi nama ‘Awang Kota Aur’ itu berkeliaran di kawasan rumah penduduk pada waktu malam dan ia semakin kerap berlaku kebelakangan ini.

 

“Selepas menerima aduan, kita membuat pemantauan di kawasan ini sejak seminggu lalu dan mengesan gajah berusia kira-kira 60 tahun kerap berada di belakang sebuah rumah pada waktu malam membuatkan penduduk itu sekeluarga ketakutan.

“Pada mulanya, kita mahu mengambil pendekatan tembak dan halau, namun apabila ia semakin kerap berkeliaran dan pemantauan mendapati gajah ini pernah menumbangkan pokok kelapa untuk memakan umbutnya, kita ambil keputusan memindahkannya.

“Berikutan itu satu perbincangan perbincangan diadakan bersama Pengarah PERHILITAN Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim sebelum keputusan dibuat bagi memindahkan Awang ke Hutan Belum, Perak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, pihaknya bekerjasama bersama PERHILITAN Baling untuk melakukan tembakan pelali ke atas gajah itu pada Isnin lalu, sebelum menambatnya pada pokok di kawasan belukar berdekatan kampung.

Katanya, anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Pahang turut membantu bagi memindahkan Awang dengan menggunakan dua gajah denak yang dikenali sebagai Alang (jantan) dan Apeh (betina).

“Selepas pasukan PKGK tiba, kita memulakan operasi memindahkan Awang bermula jam 3 petang semalam dan tamat pada jam 6 petang sebelum terus membawanya ke Hutan Belum.

“Kami tiba di hutan berkenaan kira-kira jam 1 pagi tadi selain turut memastikan Awang selamat masuk ke hutan sebelum bergerak pulang.

Zulkifli berkata, Awang Kota Aur berkemungkinan lahir dan membesar di Hutan Simpan Chebar, Ulu Muda iaitu kawasan hutan di belakang kampung berkenaan.

“Dahulu kampung ini juga kawasan hutan, jadi Awang sudah biasa berada dan mencari makan di sini. Lagi pun gajah turut mempunyai konflik kawasan antara kawanan gajah lain, jadi Awang mungkin terus pilih tinggal di sini kerana kampung ini mempunyai banyak sumber makanannya.

“Awang dilihat seperti tidak tahu hendak ke mana, dia hanya balik ke tempat asalnya atau ‘kampung’ asalnya sahaja. Ini pula kita panggil konflik di antara haiwan dan manusia. Manusia perlu buka penempatan, ladang dan bercucuk tanam untuk kelangsungan hidup,” katanya.

Sumber : bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *