Semasa

Tutvp perkhIdmatan rawatan pesakit luar – HTAR

KLANG – Semua perkhidmatan rawatan pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah ( HTAR ) ditutup sepenuhnya bermula semalam sebagai persediaan menghadapi pengurusan pesakit Covid-19.

Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi berkata, antara perkhidmatan yang terjejas adalah rawatan klinik pakar pesakit luar di kompleks rawatan harian (ACC) serta perkhidmatan fisioterapi dan pemulihan carakerja di bangunan utama.

“Pesakit yang mempunyai janji temu di klinik pakar dinasihatkan supaya tidak hadir ke hospital selepas 9 Julai (semalam) sehingga diberitahu kelak.

“Sehubungan itu, beberapa orang pegawai perubatan akan dipertanggungjawabkan untuk memantau dan menyusun semula semua janji temu di klinik pakar.

“Ini termasuk pemberian preskripsi baru bagi pesakit yang telah kehabisan ubat,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan tarikh dan masa baharu bagi janji temu klinik pakar dan pengambilan ubat di farmasi akan diberikan oleh pihak hospital kepada pesakit melalui sistem pesanan ringkas
(SMS).

“Oleh itu, pesakit dinasihatkan supaya peka dengan notifikasi yang diberikan melalui SMS agar pesakit tidak terlepas janji temu dan terputus bekalan ubat-ubatan sepanjang penutupan perkhidmatan ini,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan suasana pekarangan HTAR di sini sedikit ‘menggerunkan’ apabila terdapat beberapa pesakit diletakkan di luar wad kecemasan hospital tersebut.

Perkara tersebut tular di laman sosial Facebook apabila ramai pengguna ‘melarang’ orang ramai mengunjungi hospital berkenaan sekiranya tidak mempunyai sebarang kepentingan.

Malah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah baru-baru ini dipetik berkata, penambahan unit katil baharu di HTAR akan dibuat dalam menampung jumlah pesakit Covid-19 di sekitar Lembah Klang.

Sumber : kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *