Info

Baru kahwln dua bulan tinggal pula bawah jambatan, suami isteri dipindahkan

Sepasang suami isteri yang tular di media sosial ditemui tinggal di bawah jambatan Kampung Sedeng, Segamat, baru-baru ini, sudah dipindahkan ke kediaman lebih selesa, semalam.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Segamat, Mohamad Kamil Helmi Mohd Pang, berkata melalui pengesahan dokumentasi, pasangan ini baru mendirikan rumah tangga pada Mei lalu.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyantuni keluarga itu kelmarin di bawah jambatan yang dijadikan tempat tinggal mereka.

“Kami bersama Penghulu Mukim Pogoh, Ketua Kampung Paya Pulai dan pendakwah PERKIM hadir menemui mereka untuk membuat pemantauan awal,” katanya ketika ditemui di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat di Jalan Awang, Segamat, di sini, hari ini.

Mohamad Kamil berkata, peringkat pertama pihak JKM telah memberikan sumbangan segera berbentuk bakul makanan untuk kegunaan segera pasangan berkenaan.

Katanya, selepas perbincangan terperinci JKM bersama penghulu mukim Pogoh serta persetujuan pasangan terbabit, satu keputusan bersama dibuat iaitu mencari penempatan berdekatan tempat kerja ketua keluarga itu.

“Keputusan dipersetujui dengan menyewa sebuah bilik yang terletak di tingkat atas bangunan kedai di Bandar Segamat yang turut mendapat persetujuan daripada pemilik bangunan.

“Alhamdulillah, semalam kita sudah berjaya membawa masuk suami isteri ini dan menyediakan keperluan bagi kegunaan untuk sewaan bilik di samping menyediakan barang keperluan dan peralatan seperti tikar, selimut dan tilam,” katanya.

Beliau berkata, pasangan suami isteri warga tempatan masing-masing berusia 35 dan 30 tahun itu akan diberikan bantuan RM300 yang akan diserahkan oleh pihak JKM dengan segera.

Selain itu, katanya, JKM turut mempertimbangkan bantuan bulanan berjumlah RM300 selama setahun di bawah skim bantuan am.

“Difahamkan sehingga ke hari ini, kedua-duanya menjalankan perniagaan kecik-kecilan menjual air soya,” katanya.

Terdahulu, tular keadaan daif sepasang suami isteri ini yang tinggal di bawah jambatan sejak beberapa bulan lalu sehingga mencetuskan pelbagai reaksi berbeza netizen.

Sumber : beritaharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *