Info

9# Situasi Kita Jadi Buta Ketika Memandu dan Cara Atasi

BUTA berlaku apabila mata kita langsung tidak dapat melihat sesuatu objek yang hendak dipandang. Dalam konteks pemanduan, buta berlaku apabila kita gagal melihat pemandangan di depan cermin. Boleh dikatakan semua pemandu pernah berdepan situasi buta ketika sedang memandu.

Artikel ini akan berkongsi keadaan yang membuatkan penglihatan kita menjadi buta tiba-tiba, termasuk cara mengatasi situasi tersebut.

1. LAMPU TINGGI DARI KERETA BERTENTANGAN

Kadangkala, pemandu dari arah bertentangan dan belakang terlupa mematikan lampu tinggi. Ada juga yang mementingkan diri dengan sengaja tidak mempedulikan pengguna jalan raya sekeliling.

Jika berdepan situasi itu: Beri isyarat kepada pemandu tersebut dengan mengelipkan lampu tinggi (high-beam) seketika. Jangan pula berbalas balik menyalakan lampu tinggi. Nanti masing-masing pula buta.

Jika tidak berhasil: Tumpukan penglihatan ke kawasan jalan kurang silau dan jaga jarak dari kenderaan lain hingga kenderaan itu melepasi anda.

Jika silau datang dari arah belakang: Gunakan tuil pada cermin pandang belakang anda untuk membiaskan kesan silau tersebut. Boleh baca artikel ini: #ApaNakBuat: Bagaimanakah Guna Cermin Pandang Belakang dengan Betul?

2. CAHAYA MATAHARI

Apabila memandu menghala matahari, cahaya yang dipancarkan boleh menghalang penglihatan hingga dalam situasi tertentu membuatkan kita tidak nampak kereta atau jalan di depan, terutama apabila matahari hendak terbenam atau baru terbit.

Cara mengatasi:

  • Simpan cermin mata hitam dalam kereta, dan pakai apabila perlu.
  • Pastikan cermin depan kereta bersih, penglihatan boleh jadi lebih buruk jika cermin kotor.
  • Pastikan cecair pencuci cermin depan sentiasa ada untuk mencuci cermin.
  • Buka visor matahari untuk mengurangkan kesan silau.
  • Elakkan memandu selepas Subuh ketika matahari hendak terbit, atau ketika senja.
  • Elakkan laluan yang membuatkan anda boleh terpandang cahaya matahari secara terus.

3. PANTULAN CAHAYA

Ada beberapa bangunan dan kenderaan yang boleh memantulkan cahaya matahari ke mata anda buat sementara waktu.

Jika berlaku: Pakai cermin mata gelap, atau guna visor matahari.

Jika tidak berhasil: Gunakan teknik sama seperti situasi lampu tinggi di atas tadi, iaitu fokus pada kawasan kurang silau dan cuba anggarkan jarak kereta anda dengan kenderaan lain.

4. CERMIN BERKABUS

Dalam suhu tertentu, cermin sebelah dalam boleh berkabus disebabkan beza suhu luar kereta yang terlampau sejuk, dan kelembapan dalam kereta daripada pernafasan dan peluh. Situasi itu menyebabkan berlaku kondensasi.

Cara mengatasi:

  • Pastikan cermin sebelah dalam bersin. Proses kondensasi sudah sedia terbina daripada habuk dan partikel. Jadi, jika cermin lebih bersih, maka lebih lambat cermin berkabus.
  • Ada juga produk anti-kabus yang boleh dipakai pada cermin jika kerap berdepan situasi berkenaan.
  • Gunakan fungsi pemanas cermin untuk menghalakan udara panas ke cermin dan menghilangkan kabus.
  • Cermin belakang juga ada fungsi pemanas cermin. Hidupkan penyaman udara untuk kesan lebih cepat.
  • Bawa kain untuk bersihkan cermin depan.

5. PERCIKAN AIR DARIPADA KERETA LAIN

Air lecak yang terhasil selepas hujan biasanya boleh menyebabkan air terpercik ke cermin kereta anda secara tiba-tiba. Anda sebenarnya perlu mengagak sendiri situasi itu berlaku dan mesti bertindak pantas.

Caranya:

  • Hidupkan wiper cermin.
  • Lumpur dan pasir mungkin menyukarkan keadaan. Semburkan air wiper ke cermin hingga kotoran berkurangan. Pastikan air untuk wiper sentiasa penuh.
  • Jaga jarak dan jangan membrek mengejut. Kekalkann lorong memandu sedia ada dan jangan sesekali cuba mengelak ke kiri atau kanan kerana boleh membahayakan pengguna lain.
  • Boleh dapatkan cecair atau lilin (wax) untuk cermin yang dikhaskan untuk mengurangkan limpahan hujan dan kesan kotoran di kedai aksesori kenderaan.

6. MASALAH MEKANIKAL PADA BONET

Jarang berlaku dan anda mungkin tidak pernah mengalaminya. Tapi kes bonet depan terbuka memang ada berlaku. Bonet kereta moden direka dengan selak penutup dua tahap. Jika tahap pertama bermasalah, tahap kedua akan memastikan bonet tidak naik, dan menutup pandangan cermin depan.

Jika mengalami situasi bonet terbuka dan terangkat hingga menghalang pandangan, cuba tip berikut:

  • Jangan panik. Nyalakan signal kecemasan.
  • Cuba kawal pemanduan dengan jenguk kepala ke luar tingkap.
  • Brek perlahan-lahan, beri signal dan berhenti di tepi jalan.
  • Cuba atas masalah anda, atau dapatkan bantuan kecemasan.

7. BERSIN TIDAK BERHENTI

Sekali bersin tidaklah berbahaya, tetapi kalau sudah bersin berkali-kali, anda sebenarnya sedang dalam situasi bahaya kerana mata akan terbuka dan tertutup dalam tempoh masa agak lama.

Cara mengatasi:

  • Kalau sudah bersin dan rasa seperti hendak bersin lagi, terus perlahankan kenderaan.
  • Buka tingkap untuk dapatkan pengudaraan lebih baik.
  • Elakkan menggunakan ubat atau bahan yang memiliki cecair kimia ketika memandu seperti minyak wangi, penyembur serangga, atau ubat-ubatan sapu, terutama jika hidung anda jenis sensiitif.
  • Jika luar kawalan, nyalakan lampu kecemasan, dan berhenti di tepi. Pastikan keadaan sekeliling selamat.

8. PERUBAHAN CAHAYA

Situasi ini biasanya berlaku ketika keluar dari terowong. Masuk ke terowong yang gelap dan kemudian keluar dengan cahaya terang membuatkan mata boleh jadi buta atau silau tiba-tiba. Ini kerana mata kita memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan cahaya sekeliling, terutama dalam situasi gelap dan cerah.

Jadi, jika masuk terowong, pastikan anda:

  • Jangan pakai cermin mata gelap.
  • Hidupkan lampu kereta untuk membantu penglihatan.
  • Jangan memandu laju dan berhati-hati ketika keluar dari terowong.

9. KEADAAN KHAS MOTOSIKAL

Penglihatan penunggang motosikal boleh terjejas jika visor helmet terkena batu. Visor juga boleh berkabus, kotor dan calar. Jika berlaku salah satu daripada situasi tersebut, pastikan:

  • Visor berada dalam keadaan baik dan bersih sebelum memulakan tunggangan.
  • Jika pandangan terhalang seperti visor pecah atau terkena kotoran, buka visor dan menunggang seperti biasa.
  • Jika hujan lebat, dan visor bermasalah, cuma buka sedikit visor anda untuk sekurang-kurangnya dapat melihat laluan depan dan mengelak hujan memasuki mata. Berhenti tempat selamat.
  • Bawa visor simpanan, terutama ketika menunggang jauh.

 

SUMBER : mocktheorytest com / pandulaju com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *