Info

Tak ada angin dan ribut, tiba2 ramai guru KAFA/SRA dipindahkan.

“Sedih di hati anak-anak ini tiada siapa yang tahu”

SHAH ALAM, 25 Ogos 2023 – Merujuk kepada aduan-aduan yang telah diterima oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan pertukaran guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di Sekolah Rendah Agama (SRA) di Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Tindakan ini dibuat berikutan langkah Bahagian Pendidikan Islam melaksanakan penyelarasan menyeluruh berhubung pengisian kekosongan Guru KAFA dan penyusunan semula keperluan sebenar Guru KAFA mengikut kelas berdasarkan data terakhir taburan Guru KAFA seluruh Negeri Selangor bertarikh 30 Jun 2023. Berdasarkan data yang tidak menunjukkan keseimbangan, Bahagian Pendidikan Islam telah melaksanakan penyusunan semula guru mengikut nisbah keperluan sebenar ditetapkan mengikut daerah secara berperingkat. Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor telah ditetapkan sebagai dua daerah pertama yang terlibat dalam penyusunan semula ini.

Seramai 125 Guru KAFA iaitu 45 orang guru di Daerah Sabak Bernam dan 80 orang guru di Daerah Kuala Selangor terlibat dalam penyusunan semula ini. Penempatan baharu bagi lebihan guru di kedua-dua daerah tersebut telah dilakukan dengan mengambil kira faktor logistik guru-guru terlibat.

Penyusunan ini melibatkan pergerakan 45 orang Guru KAFA dari Daerah Sabak Bernam ke Daerah Kuala Selangor, 50 orang Guru KAFA dari Daerah Kuala Selangor ke Daerah Klang dan 30 orang lagi ke Daerah Gombak.

Untuk makluman, sebelum penyusunan ini dibuat, semua guru yang terlibat telah diberikan taklimat oleh pihak jabatan pada 21 Ogos 2023. Antaranya jabatan ini sedia menimbangkan apa juga masalah berbangkit akibat penyusunan semula ini dengan alasan yang munasabah dan tidak mengganggu maksud sebenar penyusunan semula ini dibuat.

Jabatan ini menasihati orang ramai dan semua pihak agar tidak membuat telahan tanpa asas yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat. JAIS sentiasa membuka pintu perbincangan dalam apa juga permasalahan mengenai urusan pentadbiran hal ehwal Islam di negeri Selangor. Banyak perkara akan dapat diselesaikan dengan permesyuaratan, sebaliknya banyak perkara tidak akan selesai jika individu atau pihak-pihak mengambil sikap menangguk di air keruh.

Sekian dimaklumkan.

Terima kasih. Wassalam.

Pengarah
Jabatan Agama Islam Selangor
25 Ogos 2023

Berikut kisah sedih ringkas di sebuah sekolah rendah agama yang muridnya amat terkesan dengan kejadian diatas.

Sedih di hati anak-anak ini tiada siapa yang tahu.

Ustaz dan ustazah-ustazah kesayangan mereka terpaksa bertukar sekolah atas arahan JAIS (difahamkan ia merupakan rombakan besar-besaran untuk guru-guru KAFA/SRA).

Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) hanya berbaki lebih kurang sebulan setengah.
Naik daripada cuti sekolah, dah bermula peperiksaan percubaan & gerak-gempur.

Mana nak catch-up dengan silibus.
Mana nak membiasakan diri dengan ustaz / ustazah baru.
Moga anak-anak ini dapat terus fokus untuk menghadapi PSRA nanti.

Cuma yang buat KakFara tertanya-tanya, tak boleh ker rombakan dibuat untuk sesi pembelajaran tahun hadapan?
Atau sekurang-kurangnya selepas selesai peperiksaan?

Apa pun, KakFara doakan Ustaz Rahimi, Ustazah Nurul Irma, Ustazah Sahara Nabillah, Ustazah Hasnah dan Ustazah Khamidatul akan terus cemerlang di tempat baru.

Terima kasih atas tunjuk ajar dan ilmu buat semua anak-anak SRA Ijok. Hanya Allah yang dapat membalas jasa anda semua dengan sebaik-baik balasan.

Sumber : fb Fara Suraya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *