Info Semasa

“Poslaju Jangan Aniay4 Kami” apalah nasib.. dengar-dengar ramai buat loan beli van untuk join mula-mula dulu

PETALING JAYA – Lebihan sumber manusia mendorong Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) untuk merasionalisasikan program Pos Rider yang menyaksikan lebih daripada 100 pekerja kontrak penghantar barang ditamatkan perkhidmatan bermula hari ini.

Pos Malaysia menerusi satu kenyataan berkata, ‘Pos Rider’ merupakan satu program ‘crowdsourcing’ bertujuan memberi sokongan kepada kakitangan tetap kurier Pos Malaysia terutamanya ketika waktu puncak.

“Program Pos Rider telah memainkan peranan penting semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu ketika jumlah bungkusan melonjak berikutan peningkatan pembelian secara online sekaligus mewujudkan lebih daripada 1,400 peluang pekerjaan.

 

“Walaupun permintaan terhadap pembelian online terus meningkat, landskap pasaran yang kompetitif telah menyebabkan penyedia e-Dagang mewujudkan perkhidmatan penghantaran mereka sendiri mengakibatkan pengurangan kebergantungan terhadap perkhidmatan kurier tempatan,” katanya hari ini.

Menurutnya, keadaan itu telah menghasilkan lebihan sumber manusia dan mendorong Pos Malaysia untuk merasionalisasikan Program Pos Rider memandangkan perlu menyesuaikan kos dan mengoptimakan sumber yang ada.

“Keputusan merasionalisasikan Program Pos Rider terpaksa diambil bagi memastikan kemampanan perniagaan demi menjaga kepentingan lebih daripada 13,600 kakitangan barisan hadapan Pos Malaysia di seluruh negara.

“Selain persaingan yang sengit, Pos Malaysia turut terkesan dengan lambakan perkhidmatan (penawaran harga rendah yang terlalu rendah) oleh sesetengah pemain industri, dengan tujuan untuk mengganggu pasaran.

 

“Untuk kekal berdaya saing dan terus bertahan dalam persekitaran perniagaan yang mencabar ini, kami harus menitikberatkan pengurusan kos yang berhati-hati dan berhemah,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, fasa pertama rasionalisasi berkuatkuasa mulai 1 Julai di semua negeri kecuali di Lembah Klang, Sabah serta Sarawak dan notis pemberitahuan 14 hari telah dikeluarkan kepada semua Pos Rider terlibat sekaligus mematuhi klausa penghentian seperti yang telah termaktub dalam kontrak.

Sumber : K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *