Semasa

Sudah Tak Larat Berniaga & Hidup Makin Melarat,Terpaksa kutip tin kosong bersama anak

Semenyih: “Kehidupan saya dan anak tidak ubah seperti kais makan pagi, kais petang makan petang. Kalau tiada duit sangat, saya akan ajak anak untuk kutip tin kosong,” kata ibu tunggal, Aslinda Abdullah, 43.

Menurutnya, juadah seperti nasi berlaukkan garam juga sudah diibaratkan seperti biasa bagi mereka jika tiada telur atau bahan-bahan lain.

“Jujur saya beritahu yang saya malu untuk meminta bantuan dan meminjam daripada orang. Saya gagahkan juga untuk berniaga sebelum bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini.

“Namun, sejak bermulanya PKP, saya sudah tidak larat memandangkan saya juga mempunyai masalah kesihatan seperti ‘thyroid storm’ dan jantung sejak dua tahun lalu,” katanya, ketika dihubungi Harian Metro.

Kehilangan suami akibat komplikasi jantung pada tahun lalu menyebabkan Aslinda memikul tanggungjawab membesarkan satu-satunya anak lelaki mereka, Keifli Wak Abdullah, 14.

Katanya, situasi yang serba kekurangan menyebabkan dia kurang mendapat rawatan susulan penyakit dihadapi selain memikirkan keadaan anak yang masih bersekolah.

Dia yang menetap di sebuah flat di sini, berkata, dia bersama anak pernah berniaga buah potong sebelum bermulanya PKP demi mencari sesuap nasi.

Menurutnya, meskipun hidup serba kekurangan, dia sangat mementingkan pelajaran anaknya yang kini menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Alhamdulillah, walaupun kami terpaksa berkongsi telefon untuk PdPR, pelajaran anak saya memberangsangkan buat masa ini dan dia tidak pernah lagi terlepas kelas dalam talian,

“Walaupun ada kadang-kadang anak mengeluh dengan kehidupan, namun saya tetap memberi sokongan kepadanya supaya belajar bersungguh-sungguh untuk ubah nasib keluarga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Intelek Muda Nasional, Mohamad Fadly Mohd Zain berkata, pihaknya menghulurkan sumbangan berupa barangan dapur serta wang bagi meringankan beban keluarga itu.

“Memandangkan sekarang PdPR, kami turut merancang untuk membelikan tablet bagi kegunaan sekolah anaknya.”Malah, kami juga dalam proses untuk menyelesaikan masalah sewa rumahnya yang tertunggak selama empat bulan,” katanya, ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Fadly berkata, buat masa ini pihaknya memberikan bantuan secara ‘one-off’ berikutan persatuannya bergantung kepada dana daripada khalayak atau ‘crowd funding’ buat Aslinda yang akan bermula dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, pihaknya juga kini dalam usaha mengusulkan cadangan bersama Yayasan RI bagi menghulurkan bantuan kepada keluarga Aslinda.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan kepada Aslinda boleh menyalurkan bantuan menerusi nombor akaun 8881040314612 Persatuan Intelek Inovasi Malaysia (Maybank).

Sumber : hmetro

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *