Info

Tahu Tak Kuman Kat Stereng 9x Lagi Banyak Dari Kuman Tandas? Ini Cara Betul Cuci Stereng Kereta Ikut Jenis Material

STERENG, atau juga dipanggil roda stereng (steering wheel) ialah bahagian paling banyak disentuh pemandu berbanding komponen lain dalam kenderaan.

Kekerapan seseorang pemandu memegang stereng boleh dikatakan lebih 90 peratus setiap kali memandu. Ironinya, bahagian itulah paling kurang mendapat perhatian setiap kali kali kita menghantar kereta untuk dicuci. Apa dibuat cuma dilap guna kain basah.

Ramai tidak tahu stereng ialah komponen paling kotor yang menjadi pusat bakteria atau kuman. Ada kajian mendakwa hampir 700 jenis kuman wujud di setiap inci persegi stereng, iaitu sembilan kali ganda lebih tinggi daripada kuman pada tempat duduk tandas. 😱😱😱

KENAL PASTI MATERIAL STERENG

Sebelum mula mencuci, kita perlu tahu material stereng kereta atau jenis balutan digunakan. Ini kerana setiap material ada pantang larang bagi memastikan jangka hayat bertahan  lama. Berikut beberapa jenis material stereng:

  • Plastik keras
  • Poliuretana (polyurethane), juga dipanggil kulit tiruan (faux leather)
  • Resin sintetik
  • Kayu asli
  • Kulit

PERKAKASAN MENCUCI

Selepas mengenal pasti jenis material stereng, sediakan perkakasan mencuci seperti berikut:

  • 2 botol  penyembur – Satu untuk isi bahan pencuci/sabun, satu lagi untuk isi air bersih.
  • 2 kain lap – Satu untuk sental, dan satu lagi untuk keringkan stereng. Seeloknya guna kain mikrofiber.
  • Berus lembut – Untuk sental dan tanggalkan habuk atau kotoran. Boleh guna berus gigi (jenis lembut), atau berus khas dibeli di kedai aksesori.

Apabila perkakasan sudah selesai cucilah mengikut jenis material stereng seperti di bawah ini:

1. Plastik Keras

Jenis stereng ini banyak digunakan model bajet,  atau dipanggil kereta aras mula (entry level). Tetapi stereng jenis inilah paling mudah dicucui, cuma guna air dan sabun pencuci biasa.

Caranya:

  • Sembur sabun pada stereng, gosok perlahan-lahan
  • Sembur air bersih untuk bilas kotoran dicuci
  • Gunakan kain bersih untuk lap stereng, atau sental guna berus.
  • Jika stereng masih melekit, ulang sembur air bersih dan lap semula. Ulangi proses hingga tiada kesan melekit.
2. Resin Sintetik

Ramai pemilik kereta sukar membezakan material resin sintetik dan plastik pada stereng. Jangan bimbang kerana teknik mencuci stereng ini sama seperti stereng plastik. Cuma cuci guna sabun dan air sebelum dilap dengan kain bersih.

Ada yang guna bahan penggilap seperti lilin. Stereng memang nampak berkilat tetapi jadi lebih licin. Cara ini sebenarnya tidak sesuai kerana boleh menjejaskan pengendalian ketika memandu, lebih-lebih lagi jika tangan anda jenis kering.

 

3. Kayu Asli

Memang sukar melihat kereta moden dengan stereng kayu melainkan model eksklusif, edisi terhad atau berstatus premium mewah. Kalau adapun, pengeluar moden hari ini lebih gemar menggunakan plastik bercorak kayu sebagai opsyen menggantikan kayu asli.

Jika stereng kereta jenis kayu, cara cuci seperti berikut:

  • Guna bahan pencucui dan lilin (wax) penggilap khas untuk kayu bagi mendapatkan perlindungan maksimum.
  • Ketika menggilap stereng, jangan buat dengan tekanan berlebihan kerana boleh mencalarkan permukaan stereng.
  • Kain terbaik mencuci dan menggilap stereng kayu ialah mikrofiber kerana tidak menyebabkan calar jika digosok terlalu kuat

 

4. Kulit Tiruan

Juga dikenali dengan nama poliuretana atau faux-leather (kulit palsu) dan semakin banyak digunakan kenderaan sederhana mewah atau jenama popular.

Ada dua cara mencuci iaitu:

  • Guna air bersih dan sabun, sama seperti stereng plastik.
  • Atau guna bahan pencuci khas.

Pastikan kerja-kerja mencuci dibuat teliti pada corak jahitan benang stereng kerana kotoran lebih mudah melekat di situ.

 

5. Kulit Asli

Produk material kulit lazimnya didatangkan pada model paling premium atau perdana. Lebih baik rujuk pengeluar asal untuk mengetahui jenis material stereng anda sama ada kulit asli atau tiruan.

Bagi stereng kulit asli, berikut tip cuci yang perlu dibuat:

  • Guna produk pencuci kulit atau perapi. Ada juga produk penjagaan kulit kereta mengandungi bahan kolagen untuk memastikan permukaan material kenyal dan lembut. Boleh rujuk pakar dalam bidang perapian kenderaan.
  • Jangan guna sabun kerana dikhuatiri mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan kerosakan pramatang atau kulit bertukar keras.
  • Sembur atau letakkan bahan pencuci pada kain bersih terlebih dulu, dan bukan secara terus ke stereng.
  • Jangan beri tekanan kuat apabila mencuci sama ada  ketika mengelap atau menggilap.
  • Selepas selesai, biarkan stereng benar-benar kering sebelum sentuh semula atau memandu bagi memastikan bahan cuciandapat menyerap masuk dalam material kulit.

SUMBER : AutoDeal / pandulaju

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *