Info

Kenapa Orang Yang Tidak Solat Selalunya Berjaya? Kita Pula Kerja Separuh Mati Rezeki Cukup Makan Saja?

Seperti yang kita tahu, ilmu itu merupakan cahaya, dan ianya tidak akan memasuki hati-hati yang gelap. Tetapi kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha.

Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya, tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita pula hidup dengan penuh cabaran dan dugaan.

 

Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan umat ISLAM tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.

Jika orang bertanya kepada kita. Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak benar? Tidak Solat pun Allah Bagi Juga!

*************************************************************

1) Tak solat subuh, bangun pukul 9.30 pagi, Allah masih izinkan kita untuk bernafas di atas muka bumi Allah

2) Tak solat zohor, balik rumah makan nasi, makan itu ini. Itulah nikmat Allah bagi walaupun tak solat.

3) Tak solat Asar, masih boleh pergi gim angkat berat, boleh main bola walaupun sengaja tinggal solat. Angkat besi 50kg boleh, angkat takbir tak boleh. Inilah manusia yang kurang ajar dengan Allah SWT.

4) Tak solat maghrib, nak bini Allah bagi bini. Nak anak Allah bagi anak. Nak rumah Allah bagi. Nak kereta besar Allah bagi. Ini menunjukkan Allah Maha Pemurah

5) Tak solat isyak, Allah bagi rezeki. Allah bagi sihat dan tak sakit.

6) Beruntung kita ni walaupun tak solat, Allah tak azab kita sekarang. Kalau zaman Nabi Musa kita tak solat, Allah bagi cash jadi muka babi

7) Tapi kita sebab kita ni menumpang rahmat Nabi Muhammad Saw lah, Allah tangguhkan dahulu azabnya. Allah beritahu dalam al-Quran, balasan di akhirat sangatlah dahsyat bagi yang meninggalkan solat.

**************************************************************

 

Adakah anda tahu apa itu istidraj?

 

Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar.

Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj?

Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dari-Nya.

Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.

Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Saya bagi contoh yang paling mudah. Salah seorang darinya adalah Qarun.

Adakah anda kenal kepada Qarun? Dia adalah seorang manusia yang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Perkara ini hendak menyatakan betapa kayanya dia.

Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan.

Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab, “Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”

Lihat. Lihat apa kata Qarun. Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri daripada orang miskin dan hamba.

Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya.

Malah, kisahnya telah diabadikan di dalam Al-Quran.

 

Jadi sekarang, apa yang kita mahu?

Sebab itulah, saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah agaknya yang akan timbul dalam jiwa kalian?

Saya yakin, 99% akan merasa begini, “Lihat, saya tidak solat pun boleh berjaya. Siapa kata solat itu boleh membawa kejayaan?”

Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu kerana merasakan rezeki tetap ada meskipun anda tidak solat? Anda berjaya, tetapi anda lupa bahawa yang memberi kejayaan adalah Allah SWT, dan inilah buktinya ada semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj.

Maka jangan gusar bila anda belum atau tidak berjaya. Cuba lagi jangan pernah berniat untuk tidak solat. Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, badai sekalipun, anda akan mampu melaluinya.

Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.

Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH.

Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah.

Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir tiada ikan untuknya pada hari itu.

Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.

“Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa”

ALLAH menjawab, “Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti dalam NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak memberikannya ganjaran syurga, maka AKU mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”.

 

Manusia beriman

Lihatlah, jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah belajar siang malam? Gagal dalam perniagaan walaupun hebat menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi.

Bukankah ALLAH SWT ada berfirman, “Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?”

Jika gagal terhadap satu-satu perkara, anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH, ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.

Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita.

Mustahil anda suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?

Saya yakin tidak..

Anda tenang sekarang? Biarkan mereka yang tidak solat tetapi berjaya itu. Tidak perlu mempersoalkan pengakhiran mereka yang tidak solat ini.

Anda wajib untuk tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT jika kita tidak solat.

 

 

 

Sumber : kataustaz com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *