Semasa

6 sekeluarga tinggal dalam khemah

Berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikul.. begitulah nasib sebuah keluarga yang terpaksa berteduh dibawah khemah demi kelangsungan hidup.

SEREMBAN : sepasang suami isteri dan empat anak mereka terpaksa tinggal dalam khemah selepas tidak mampu membayar sewa bilik didiami mereka akibat hilang pekerjaan sebagai pencuci kereta.

Sebelum ini keluarga itu tinggal di sebuah bilik di premis tempat mereka bekerja sejak dua tahun lalu, tetapi terpaksa keluar dari situ selepas Aidilfitri lalu berikutan pusat cuci kereta itu menutup operasinya.

Norhidayah Khalid,31, berkata dia dan suami, Syamsulhasmeir Yaakop, 40, serta empat anak kemudian menumpang gerai makanan milik kakaknya yang tidak digunakan sejak sebulan lalu.

“Kami cuba berniaga di kedai makan milik kakak, tetapi malangnya tiada pelanggan dan terpaksa menutup operasi selepas kehabisan modal.

“Buat sementara ini, suami saya membuat pelbagai pekerjaan seperti membuat sanitasi untuk kediaman atau premis bagi mencari perbelanjaan harian,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9), hari ini.

Norhidayah berkata, tinggal dalam khemah bersama anak-anak memang tidak selesa, tetapi mereka tiada pilihan dan terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang.

“Paling penting keperluan dapur dan makanan untuk anak-anak yang berusia dua tahun hingga 11 tahun perlu cukup,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya mengetahui keluarga terbabit tinggal di khemah daripada pihak sekolah anaknya, Sekolah Kebangsaan (SK) Nyatuh, Rantau.

“PERKASIH N9 datang dan melihat keperluan keluarga ini dan kami turut memaklumkan kesusahan mereka kepada Baitulmal serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

“Kami harap nasib keluarga ini terbela kerana tinggal di tempat terbuka dan terdedah seperti ini agak berbahaya kerana bimbang ada binatang liar seperti ular dan sebagainya di sini.

Sumber : bharian com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *