Info

KPDNHEP kenakan kawalan jika harga tidak munasabah

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengenakan harga kawalan atau harga maksimum jika didapati harga sesuatu barangan melonjak kepada paras tidak munasabah.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata tindakan itu boleh dilaksanakan, sama seperti Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), yang mana KPDNHEP menjangka permintaan barangan tertentu akan meningkat dan menekan harganya, seperti yang biasa berlaku dalam pasaran bebas.

Kenyataan itu susulan rungutan orang ramai mengenai peningkatan mendadak harga minyak masak botol di pasaran, iaitu peningkatan sekitar RM4 hingga RM5 bagi minyak masak seberat lima kilogram (kg).

Alexander menjelaskan, minyak masak yang dijual dalam botol plastik bersaiz dua kg, tiga kg, lima kg dan dalam tin 17 kg adalah tidak bersubsidi, tidak seperti minyak masak yang dipek dalam bungkusan polibeg satu kg.

“Harga minyak masak botol ditentukan harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran dunia. Rakyat boleh membuat pilihan sama ada hendak membeli minyak masak bersubsidi dalam kemasan polibeg satu kg atau yang tidak bersubsidi dalam kemasan botol plastik dan tin.

“Pada masa ini, harga CPO di pasaran dunia sudah mencecah lebih RM4,500 satu tan, berbanding RM2,500 satu tan sebelum ini, iaitu bersamaan kira-kira RM4.50 per kg sebelum diproses dan dibotolkan.

“Ini bermakna kos minyak sawit mentah saja sebelum dibotolkan sudah melebihi RM22 untuk lima kg. Itu tidak termasuk kos lain seperti pemprosesan, pembotolan, pengangkutan dan keuntungan di semua peringkat kilang, pemborong, pengedar serta peruncit,” katanya.

Bagaimanapun, Alexander memaklumkan, KPDNHEP sedang berbincang dengan beberapa kementerian dan agensi berkaitan bagi mempertingkat mekanisme pelaksanaan harga untuk minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi di pasaran bagi mengurangkan beban pengguna, yang mana hasilnya akan dimaklumkan kelak.

“Pihak penguat kuasa KPDNHEP sentiasa memantau bekalan dan harga barangan di pasaran setiap hari.

“Penguat kuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 jika terbukti peniaga melakukan pencatutan terhadap harga barang termasuk minyak masak.

“Kementerian juga sentiasa proaktif dalam memastikan tiada ketirisan dalam bekalan minyak masak bersubsidi,” katanya.

Mengulas mengenai minyak bersubsidi, beliau berkata, ia ditawarkan kepada pengguna pada harga mampu milik yang sangat munasabah iaitu RM2.50 sepaket walaupun harga CPO di pasaran dunia meningkat ketika ini.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan 60,000 tan minyak masak itu sebulan atau 720,000 tan setahun, iaitu kira-kira 60 juta polibeg sebulan atau 720 juta polibeg setahun untuk kegunaan rakyat Malaysia di semua peringkat di seluruh negara.

Katanya, kuantiti itu adalah berdasarkan kadar penggunaan 1.8 kg seorang setiap bulan atau 22 kg seorang setahun.

“Kerajaan memberi jaminan kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan yang dijual dalam botol, malah ada di antaranya dikeluarkan dari kilang yang sama,” katanya.

Sumber : beritaharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *