Dunia

(Video) Sangat Mengerikan, Kamera Dron Rakam Detik Terhempas Ke Dalam Lahar Gunung Berapi

Tahukah anda, di Iceland terdapat sebuah gunung berapi aktif yang terletak di Semenanjung Reykjanes. Gunung berapi yang dinamakan sebagai Gunung Berapi Fagradalsjfall itu dilapor telah meletus sejak 19 Mac lalu dan masih memuntahkan laharnya sehingga ke hari ini.

Hari demi hari, lahar panas yang mengalir masih tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan terhenti. Fenomena semulajadi itu dipercayai telah menarik perhatian orang ramai untuk berkunjung ke sana sambil menikmati pemandangan ‘panas’ tersebut.

Rakam ‘kematian’ sendiri

Baru-baru ini, seorang Youtuber, Joey Helms menjalankan rakaman pemandangan lahar di gunung berapi itu dengan menggunakan kamera dron. Dron yang dipandu dari jauh telah melalui lurah-lurah laluan lahar tersebut.

Hasil rakaman mendapati, lahar yang ‘mengalir’ deras itu berwarna merah terang dan kehitaman, menunjukkan ia begitu panas dan sangat berbahaya. Dron itu juga mengambil risiko tinggi apabila terbang melalui lurah yang panas itu.

Bagaimanapun masalah mula berlaku apabila dron itu menghampiri kawasan puncak gunung yang dipercayai tempat keluarnya lahar. Lahar panas itu mengalir deras bagaikan ombak besar, sehingga memercikkan cecair ke udara.

Percikan lahar kemudiannya terkena ke arah dron kerana mungkin tidak sempat dielak. Rakaman terhenti secara tiba-tiba. Akhirnya, dron yang dipandu itu hilang kawalan dan dipercayai jatuh terhempas lalu terbenam ke dalam aliran lahar.

Namun, klip rakaman berjaya direkodkan di pangkalan dan dimuat naik ke Youtube beberapa jam selepas kejadian. Mungkin sukar untuk percaya, tapi inilah detik ‘kematian’ dron yang dirakam dari lensanya sendiri. Mari tonton klip rakaman tersebut di bawah ini.

 

Sumber : ABC / SKY news / siakapkeli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *