Semasa

Hilang tiga anak sekelip mata, lemas dihanyutkan ombak

PUTATAN: Semua mayat empat mangsa lemas, termasuk tiga beradik yang mandi di Pantai Gorongon berhampiran Kampung Contoh, di sini, ditemui anggota pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, malam tadi.

Mayat Norain Amit, 13, ditemui jam 8.20 malam, sebelum mayat Rafidah Amit, 14, berjaya ditemui kira-kira 40 minit kemudian.

Dua lagi mangsa, Dalang, 17, dan Korais Amit berusia lapan tahun ditemui kira-kira jam 9.30 malam di lokasi tidak jauh dari tempat mereka dihanyutkan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian.

Beliau berkata, semua mayat sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan lanjut.

“Susulan penemuan semua mangsa dalam kejadian ini operasi mencari dan menyelamat dihentikan serta-merta.

“Bagaimanapun, siasatan akan dijalankan bagi mencari punca sebenar kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Haris berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, lapan individu berusia antara lapan hingga 17 tahun dikatakan pergi ke pantai berkenaan untuk bermandi-manda.

Bagaimanapun, ketika hendak pulang mereka dikatakan cuba berenang ke tepi pantai, namun dipercayai dihanyutkan ombak deras ke kawasan laut dalam.

Akibat kejadian itu, empat daripada mangsa berjaya menyelamatkan diri, manakala empat lagi hilang.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang dijalankan sepasukan anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

Sumber : wowberita my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *