Semasa

Tun M bidas individu sebar dakyah mengenai vaksin Covid-19 – “Kalau dia mati, Mak Teh yang bertanggungjawab”

PENULARAN maklumat tidak benar yang mengaitkan kes kematian akibat pengambilan vaksin Covid-19, turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Merujuk kepada rakaman suara yang kini tular di media sosial dan Whatsapp, beliau membidas seorang individu yang dikenali sebagai ‘Mak Teh’ yang menjadi penyebar maklumat tidak tepat berkenaan.

Menurutnya, perbuatan itu satu tindakan tidak bertanggungjawab kerana ia boleh mempengaruhi orang ramai untuk tidak mengambil vaksin, seterusnya menyebabkan nyawa terancam.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M jadi perhatian, penerima vaksin Covid-19 tertua di Malaysia

“Kita tidak boleh cakap macam itu. Kita kena tentukan apa yang kita katakan itu betul ataupun tidak. Saya tidak percaya dia (Mak Teh) betul kerana saya pun telah disuntik, isteri saya pun telah disuntik, tidak ada apa pun.

“Kami lebih bertahan daripada dijangkiti dengan wabak ini. Ini satu dakyah yang tidak ada asas. Dia sebenarnya menghukum mati kepada orang yang tidak dapat vaksin.

“Jadi orang tidak dapat vaksin mereka akan kena penyakit ini. Kalau dia mati, Mak Teh lah yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu video yang dikongsikan di Facebook beliau pada Sabtu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menerusi rakaman suara yang tular itu, ‘Mak Teh’ mendakwa seramai 40 orang jururawat meninggal dunia kerana mengambil vaksin Covid-19 yang diberikan kerajaan.

Individu tersebut turut mendakwa vaksin Covid-19 tidak diuji di makmal serta mengandungi racun yang menyebabkan kematian.

Individu berkenaan turut mencadangkan kepada mereka yang sudah menerima dua dos vaksin agar meminum air kelapa bagi membersihkan racun daripada vaksin berkenaan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad menafikan dakwaan tersebut dan meminta semua masyarakat supaya membimbing keluarga mereka agar tidak membuat, berkongsi dan mempercayai maklumat sedemikian.

Menerusi hantaran di Facebook, KKM turut menyatakan bahawa adalah menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang kepada individu yang membuat kenyataan tidak benar serta menimbulkan kegelisahan awam.

Sumber : sinar harian / mstar com my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *